Kes Antipencatutan tertinggi direkodkan di Labuan tahun lalu

FOTO KPDN WP LABUAN

LABUAN, 10 Januari – Kesalahan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 merekodkan jumlah kes tertinggi di Labuan sepanjang tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kesalahan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 merekodkan jumlah kes tertinggi di Labuan tahun lalu.
  • Akta Perihal Dagangan 2011 mencatatkan jumlah kes paling rendah bagi 1 Jan hingga 31 Dis 2025.
  • KPDN Labuan memeriksa 17,428 premis dan mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas 131 kes.
  • Rampasan melebihi RM260,000 dan jumlah kompaun serta denda keseluruhan mencecah RM194,000.

Sebaliknya, Akta Perihal Dagangan 2011 mencatatkan jumlah kes paling rendah bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2025.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan, Junaidah Arbain berkata, dalam tempoh berkenaan, sebanyak 17,428 premis perniagaan telah diperiksa di sekitar pulau itu, dengan 131 kes dikenakan tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga yang didapati melanggar peruntukan undang-undang.

“Hasil penguatkuasaan tersebut merekodkan nilai rampasan melebihi RM260,000, manakala jumlah kompaun dan denda keseluruhan mencecah RM194,000,” katanya.

Tambahnya, pihak KPDN Labuan sentiasa mengalu-alukan dan menggalakkan orang ramai untuk terus berperanan sebagai mata dan telinga kerajaan dengan menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan salah laku, aktiviti penyelewengan dan pelanggaran undang-undang di bawah seliaan kementerian itu.