fb fb fb fb fb

Kertas Putih Kesihatan, pastikan sistem kesihatan negara lebih mampan - Khairy

(Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berucap pada Persidangan Kemuncak Dasar Kesihatan 2022)

KUALA LUMPUR, 15 Ogos- Kertas Putih Kesihatan perlu menjadi tanda aras penyatuan hasrat bersama semua pihak bagi memastikan sistem kesihatan di negara lebih mampan dan berdaya tahan melalui pemikiran kerajaan serta masyarakat.

Perkara itu dinyatakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam ucaptama pada Persidangan Kemuncak Dasar Kesihatan 2022 dengan tema 'Masa Hadapan Perkhidmatan Kesihatan Melalui Pembangunan Kertas Putih Kesihatan' di Ibu negara.

Menurut beliau pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak 2020 memperlihatkan betapa perlunya pembaharuan dalam penjagaan kesihatan, yang menyaksikan kesihatan, kewangan dan hubungan sosial saling bergantung dengan begitu ketara.

"Usaha yang ditetapkan ini harus terus diperkukuh, namun kita memerlukan pembaharuan sistemik mengenai cara penjagaan kesihatan disampaikan, dibiayai dan ditadbir.

"Bagi menjamin perubahan jangka panjang ini, Kertas Putih Kesihatan akan memberi tumpuan kepada pembaharuan yang paling asas untuk menangani cabaran sistemik dan struktur utama yang dihadapi sistem penjagaan kesihatan, bukan penyakit tertentu atau individu dalam kumpulan demografi,"katanya.

Justeru, walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) berunding dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi membangunkan Kertas Putih Kesihatan, pihaknya juga perlu memastikan rancangan pembaharuan itu 'kebal' dan akan terus bertahan walaupun kerajaan bertukar.

Tambah beliau semua pihak memainkan peranan dalam menyokong pembaharuan yang dicadangkan dalam pembentangan kertas Putih Kesihatan di Parlimen pada akhir tahun ini.


(Peserta-peserta Persidangan Kemuncak Dasar Kesihatan 2022)

Media Baharu