LANGKAWI, 20 Mei - Kerosakan Komplek Dewan Bedah Pusat Jantung Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) Serdang, Selangor akan dibaik pulih bulan depan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihak kontraktor yang terlibat akan menjalankan kerja baik pulih dengan kadar segera.
“Kami mahu pastikan mereka memenuhi tarikh yang ditetapkan. Bangunan baharu empat bilik bedah yang tidak berfungsi sangat menjejaskan penyampaian dan juga perkhidmatan Pusat Jantung di Serdang ini,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Sebelum ini Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, mengesahkan mengalami isu teknikal dan masalah bekalan elektrik.
Bagaimanapun Dzulkefly berkata keadaan tersebut tidak mengganggu kes kecemasan kerana penyusunan akan dibuat dengan merujuk pesakit ke fasiliti lain seperti Institut Jantung Negara (IJN).