Kerjasama UPHSB-SALAM perkasa akses perkhidmatan kesihatan swasta berkualiti

UPHSB komited memperkasa akses perkhidmatan kesihatan swasta yang berkualiti dan bersepadu bersama SALAM Shah Alam Specialist Centre

SUNGAI BULOH, 10 Februari –  UiTM Holdings Sdn Bhd (UHSB) melalui anak syarikatnya, UiTM Private Healthcare Sdn Bhd (UPHSB) komited memperkasa akses perkhidmatan kesihatan swasta yang berkualiti dan bersepadu bersama SALAM Shah Alam Specialist Centre.

Kerjasama itu diwujudkan, susulan permintaan meningkat terhadap perkhidmatan kesihatan yang cekap, mudah diakses dan berfokuskan pesakit.

Kolaborasi itu berupaya memperkukuh kesinambungan rawatan dan meningkatkan pengalaman pesakit secara menyeluruh melalui gabungan kepakaran klinikal, kemudahan dan kecekapan operasi kedua-dua organisasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UHSB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata kerjasama itu dapat menyelaraskan kepakaran klinikal dan kecekapan operasi, selain membina ekosistem kesihatan yang lebih berdaya tahan bagi memastikan pesakit menerima penjagaan pakar yang berkualiti tinggi.

“Kerjasama dengan SALAM Shah Alam Specialist Centre ini merupakan satu mercu tanda penting dalam usaha kami untuk mentakrifkan semula penjagaan kesihatan berasaskan nilai.

“Memorandum Persefahaman (MoU) ini menjadi bukti komitmen bersama kami untuk meningkatkan aksesibiliti dan tahap keselamatan kesihatan bagi komuniti yang kami wakili.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar SALAM Shah Alam, Akim Affandi Ahmad, berkata kerjasama tersebut mencerminkan komitmen strategik untuk memperkukuh penyampaian penjagaan kesihatan melalui rakan kerjasama jangka panjang.

“Melalui kerjasama erat dengan UiTM Private FebruaryHealthcare, kami menyasarkan untuk memperluas keupayaan klinikal kami dan membina rangkaian penjagaan pesakit yang teguh, yang akhirnya akan meningkatkan pengalaman serta kualiti penjagaan pesakit,” katanya.

Selain itu, SALAM Shah Alam Specialist Centre turut menyokong visi berkenaan dengan menyifatkan pakatan strategik adalah kunci utama dalam memastikan kelestarian sistem kesihatan bagi memenuhi keperluan pesakit yang semakin kompleks.

Majlis menandatangani MoU disempurnakan oleh barisan pengurusan kanan kedua-dua organisasi menandakan permulaan hubungan jangka panjang berteraskan nilai profesionalisme, kualiti klinikal dan penjagaan berfokuskan pesakit.

Dalam pada itu, UPHSB dan SALAM Shah Alam Specialist Centre sentiasa bersedia memberikan komitmen berterusan dalam menyumbang secara aktif kepada landskap penjagaan kesihatan negara melalui pendekatan kolaboratif, inovasi dan penyampaian perkhidmatan yang bertanggungjawab.