PUTRAJAYA, 14 Oktober- Tourism Malaysia bersama Education Malaysia Global Services (EMGS) telah bekerjasama bagi mengukuhkan tarikan Malaysia sebagai destinasi pengajian pilihan pelancongan dalam kalangan pelajar antarabangsa serta pelancong dari seluruh dunia.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab menyatakan, kerjasama tersebut bertujuan memanfaatkan perkongsian kepakaran dalam aspek komunikasi, penjenamaan, pengiklanan, acara, kempen, bahan pemasaraan dan promosi serta media dan perhubungan awam.
(Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Dato' Zainuddin Abdul Wahab dan Ketua Pegawai Eksekutif EMGS
En. Mohd Radzlan Jalaludin di Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama
Antara Tourism Malaysia & Education Malaysia Global Services di sini)
"Usaha sama ini juga dapat mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan menerusi segmen minat khas edutourism dan juga percutian oleh pelajar antarabangsa bersama keluarga mereka yang sekali gus dapat menjana pendapatan ekonomi kepada negara,” katanya pada sidang media Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) antara Tourism Malaysia dan EMGS di Putrajaya.
Tambah beliau, kerjasama tersebut berupaya membantu merancakkan industri pelancongan negara bagi mencapai sasaran ketibaan pelancong sebanyak 9.2 juta pelancong dengan nilai pendapatan pelancongan sebanyak RM 26.8 bilion menjelang hujung tahun ini.
Setakat Oktober 2022, negara telah menerima lebih 40,000 permohonan daripada pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di Malaysia.
Empat negara utama yang mencatatkan permohonan tertinggi adalah China, Indonesia,Bangladesh dan Yaman.