PETALING JAYA, 7 Oktober – Masa depan perkhidmatan awam ASEAN perlu dibina atas asas kerjasama rentas negara serta inovasi berpandangan jauh bagi memastikan sektor itu kekal relevan dan berkesan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata cabaran global seperti perubahan iklim, ketegangan geopolitik dan gangguan teknologi menuntut semua negara ASEAN menilai semula tadbir urus serta memperkukuh kerjasama serantau.
“Tiada negara mampu bergerak maju secara bersendirian. Kita perlu kepimpinan berwawasan, tadbir urus berdaya tahan dan inovasi dalam mencari penyelesaian bersama,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Persidangan ASEAN: Perkhidmatan Awam Yang Bersedia Menghadapi Masa Hadapan, di sini, hari ini.
Menurut beliau, kekuatan sebenar sesebuah negara bukan hanya pada teknologi atau sumber ekonomi, tetapi pada tenaga kerja sektor awam yang menjadi tunjang pentadbiran kerajaan.
Persidangan anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersempena Kepengerusian ASEAN 2025 itu turut menyaksikan penerimaan Deklarasi ASEAN Mengenai Perkhidmatan Awam - Bersedia Menghadapi Masa Hadapan, yang menegaskan komitmen bersama memperkukuh daya tahan institusi awam, mempercepat transformasi digital serta mengukuhkan tadbir urus berasaskan integriti dan akauntabiliti.
Bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan,” persidangan itu menghimpunkan pemimpin serta pegawai kanan ASEAN bagi merangka visi bersama ke arah perkhidmatan awam yang digital, berpaksikan rakyat dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran masa hadapan.