Kerjasama PERHEBAT-UPM berjaya latih 151 veteran bidang pertanian

Lawatan kerja Adly Zahari ke tapak Program Usahawan Tani Putra PERHEBAT di Pusat Pertanian Putra (UPM), Serdang

SERDANG, 11 Februari – Sejumlah 151 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya dilatih dalam bidang pertanian menerusi kerjasama Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

RINGKASAN BERITA AI
  • 151 veteran ATM berjaya dilatih dalam bidang pertanian melalui kerjasama PERHEBAT dan UPM.
  • Latihan enam bulan meliputi pembenihan, penjagaan, pengeluaran dan pemasaran seluruh rantaian industri.
  • Inisiatif selaras dengan DIPN dan Pelan Transformasi PERHEBAT untuk pengukuhan sosioekonomi veteran.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, Program Usahawan Tani Putra PERHEBAT itu merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik kementerian bagi memperkasa veteran dalam bidang keusahawanan, khususnya sektor pertanian dan penternakan.

Program latihan berstruktur selama enam bulan bagi setiap kohort itu bukan sekadar memberi pendedahan asas, malah meliputi keseluruhan rantaian industri termasuk pembenihan, penjagaan, pengeluaran dan pemasaran.

“Kalau kita lihat, kita ada lapan plot latihan sama ada dari segi pertanian seperti tanaman fertigasi terung dan cili, sun melon dan juga nanas, jagung cendawan dan juga penternakan, kalau kita lihat tadi ada penternakan puyuh, ayam dan juga penternakan ruminan dan juga ikan air tawar.

“Latihan yang dilaksanakan oleh UPM adalah menyeluruh, bermula daripada proses pembenihan dan penjagaan sehinggalah kepada aspek pemasaran.

“Saya ucap terima kasih kerana sepanjang latihan dibuat di UPM ini, mereka mengambil tanggungjawab dengan hasil-hasil pertanian ini dipasarkan di Putra Mart. Sebanyak hampir 24 tan cili dan terung telah dihasilkan, tiga tan ikan keli dan tujuh tan tembikai wangi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak Program Usahawan Tani Putra PERHEBAT di Pusat Pertanian Putra (UPM) di sini hari ini.

Program itu merupakan inisiatif untuk memastikan veteran tentera menerima latihan yang komprehensif bersama UPM dalam bidang pertanian dan juga penternakan.

Program berkenaan juga selaras dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) khususnya Inisiatif Strategik 12 yang menekankan pemerkasaan modal insan dan sosioekonomi bakal pesara serta veteran ATM serta diperkukuh melalui Pelan Transformasi PERHEBAT 2026–2035.

Menerusi pelan transformasi berkenaan, PERHEBAT akan melaksanakan Hebat E-Co, satu inisiatif baharu bagi membantu veteran membangunkan ekonomi secara berkelompok dalam sektor agromakanan melalui kerjasama strategik bersama universiti awam, agensi kerajaan serta syarikat berkaitan industri.