PUTRAJAYA, 2 Januari- Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bagi mengenal pasti isu integriti melibatkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Menterinya, Anthony Loke berkata, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi, sekiranya isu integriti dikesan melibatkan perkhidmatan yang menyalahi peraturan dan undang-undang.
Beliau merujuk hasil pemeriksaan Op Mengejut Puspakom yang berjaya mengesan salah laku pegawainya, meluluskan sebuah kenderaan yang dianggap tidak selamat.
"Memang kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang lebih tegas bersama-sama dengan SPRM. Kita mahu kenal pasti juga bukan sahaja kes-kes terpencil ini, tapi apa yang lebih penting ialah sama ada, wujud sindiket-sindiket yang membawa perkhidmatan yang tidak sah ini.
Jadi, kita akan terus siasat akan tengok lagi kenderaan-kenderaan lain dan pusat-pusat lain dan kita tidak akan memberikan notis kepada Puspakom, sebab kalau kita bagi notis, sudah tentu tidak ada kes macam itu," kata Anthony kepada pemberita, hari ini.
Setakat ini, tiga pegawai Puspakom terlibat telah hadir ke Ibu Pejabat JPJ untuk ditemu siasat dan pihaknya sedang menyiapkan kertas siasatan kes terbabit.
Siasatan akan terus dijalankan dengan memanggil pegawai-pegawai lain secara berperingkat.
Pada Isnin lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan Op Mengejut Puspakom di seluruh negara bagi memastikan setiap kenderaan yang diperiksa, mematuhi standard ditetapkan.
Dalam pada itu, tiada kompromi terhadap mana-mana pemandu yang didapati mengabaikan aspek keselamatan hingga menyebabkan kemalangan maut.
Anthony Loke menegaskan kementeriannya tidak teragak-agak untuk menggantung lesen serta mengambil tindakan tegas ke atas pemandu yang didapati bersalah mengakibatkan kemalangan seumpamanya mengikut peruntukan undang-undang.
Mengulas insiden kemalangan melibatkan seorang petugas perubatan Klinik Kesihatan yang maut dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) pada Selasa lalu, beliau menjelaskan pihaknya masih belum menerima sebarang laporan siasatan mengenainya, setakat ini.
Bagaimanapun, tindakan menggantung lesen tetap dilaksana sekiranya laporan membuktikan punca kemalangan adalah disebabkan kecuaian.