Kerjasama MDIO dengan Five Eyes tidak jejas dasar berkecuali Malaysia

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Februari – Penglibatan Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO) dalam latihan perisikan bersama negara-negara kerjasama perisikan Five Eyes tidak menjejaskan dasar berkecuali negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama MDIO dalam latihan perisikan tidak menjejaskan dasar berkecuali Malaysia.
  • Malaysia mengekalkan hubungan pertahanan seimbang dengan kuasa besar termasuk China dan Rusia.
  • Latihan antarabangsa dimanfaatkan untuk meningkatkan kepakaran anggota pertahanan.
  • Penggunaan teknologi maju dari rakan latihan diperkuatkan demi kebolehan aset pertahanan negara.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, Malaysia sentiasa mengekalkan hubungan pertahanan yang seimbang dengan kuasa-kuasa besar lain, selain memanfaatkan latihan antarabangsa bagi meningkatkan kepakaran anggota pertahanan.

“Kerjasama bilateral dan multilateral dengan negara kuasa besar termasuk China dan Rusia memang sentiasa diwujudkan. Dalam konteks ini, Malaysia kekal sebagai negara berkecuali,” katanya.

“Dalam latihan seperti ini, kita memanfaatkan kepakaran anggota serta penggunaan teknologi memandangkan aset pertahanan negara banyak menggunakan teknologi negara maju,” katanya lagi.

Penjelasan itu menjawab soalan tambahan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) dalam sidang Dewan Rakyat.

Mohamad Shafizan ingin mengetahui sama ada kerjasama MDIO bersama negara-negara Five Eyes menjejaskan dasar berkecuali Malaysia, khususnya dalam mengekalkan hubungan baik dengan kuasa besar lain termasuk China.