KUALA LUMPUR, 7 Mac- Malaysia dan Thailand akan terus berusaha mencapai kejayaan demi manfaat kedua-dua negara dan keseluruhan rantau ASEAN.
Melalui hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata, hasil perbualan telefon antara beliau dan rakan sejawatnya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra, beberapa isu utama melibatkan kedua-dua negara dibincangkan dengan lebih mendalam.
Antaranya termasuk isu sempadan khususnya Sungai Golok yang melibatkan komitmen Thailand dalam menyediakan dana bagi projek pembangunan pasca banjir.
Turut dibincangkan, kerjasama dalam kawalan saliran air untuk mengurangkan risiko banjir serta inisiatif tebatan banjir baharu dalam usaha pengurusan dan perlindungan pantai.
Selain itu, turut ditekankan kerjasama dalam proses dialog damai di selatan Thailand, termasuk pelantikan ketua perunding baharu.