PUCHONG, 29 Jun- Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) disaran bekerjasama dengan Think City untuk meninjaiu ke kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) dalam usaha mentransformasikan golongan belia ke arah gaya hidup positif.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, agensi tersebut mempunyai gerak kerja yang tertumpu kepada golongan belia menerusi program rakan muda yang boleh memanfaatkan golongan itu di PPR.
"Saya mahu mereka bekerjasama dengan Think City, untuk sekarang pegawai turun ke setiap kawasan PPR yang diwakili untuk melihat program yang boleh dilaksanakan bersama-sama. Jadi kita tahu Think City bekerjasama dengan Kementerian Kewangan.
"....apa yang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu adalah semua kementerian yang relevan kepada satu isu perlu bekerjasama supaya tiada pembaziran," selepas merasmikan Sidang Anak Muda Program Kita-Untuk-Kita (K2K) yang kedua di sini.
Kerjasama itu juga akan mengelakkan sebarang pertindihan program berkaitan belia yang dilaksanakan JBSN dan Think City selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengelakkan sebarang pembaziran.
Sidang Anak Muda K2K merupakan inisiatif untuk melatih dan melahirkan pemimpin pelapis muda yang berkualiti sejajar dengan keperluan negara, dan melalui sidang ini peserta diperkasa dengan kemahiran berdebat, berbincang serta menyelesaikan masalah sebagaimana dalam suasana Parlimen.
Program tersebut menampilkan belia daripada 10 perumahan awam iaitu Perumahan Awam (PA) Seri Selangor, PA Seri Sarawak, PA Hang Tuah, PPR Seri Cempaka, PA Seri Kota, PPR Taman Mulia, PA Seri Sabah 3A, PPR Desa Tun Razak, PPR Kampung Baru HICOM dan PPR Lembah Subang 1.
Think City merupakan anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad yang ditubuhkan pada 2009 untuk menghasilkan pelestarian bandar yang lebih saksama demi faedah bersama.