Kerjasama IPT-industri lahirkan graduan kompeten

Datuk Seri Dr Zambry ketika berucap dalam Sidang Akademia Penyelidikan Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) Bersama Industri 2026 di Putrajaya. Foto/BERNAMA

PUTRAJAYA, 11 Februari– Institusi Pengajian Tinggi (IPT) digesa mempergiat serta memperkukuh kerjasama strategik dengan pihak industri sebagai langkah memperkasa ekosistem pendidikan tinggi agar lebih dinamik, responsif dan selari dengan keperluan pembangunan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • IPT digesa mengukuhkan kerjasama strategik dengan industri untuk menjadikan pendidikan tinggi lebih dinamik dan responsif kepada keperluan negara.
  • Hubungan universiti-industri kini tuntutan semasa bagi memastikan graduan memenuhi kehendak pasaran kerja dan menyokong agenda perindustrian.
  • MTUN dan universiti teknikal melahirkan graduan kompeten berorientasikan amalan, siap memasuki sektor pembuatan dan industri berteknologi tinggi.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menegaskan, usaha merapatkan hubungan universiti-industri kini menjadi tuntutan semasa dan bukan lagi sekadar pilihan.

Ini bagi memastikan graduan yang dilahirkan benar-benar memenuhi kehendak pasaran kerja dan menyokong agenda perindustrian negara.

“Seruan untuk mengadakan hubungan yang baik antara industri dan juga universiti bukan hanya tertumpu kepada Malaysia Technical University (MTUN), bukan hanya teknikal saja tetapi juga melibatkan semua universiti IPTA dalam negara kita.

“Sebagai contoh Universiti Sains Malaysia (USM) telah menjadi pusat pembangunan dalam industri semikonduktor dan telah menggabungkan semua kepakaran yang ada dalam industri dan universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Akademia Penyelidikan Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) Bersama Industri 2026, di Putrajaya.

Turut hadir Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor MTUN Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin.

Menurut Datuk Seri Dr Zambry, pendekatan pembelajaran tradisional yang hanya berasaskan bilik kuliah dan kampus tidak lagi mencukupi dalam landskap industri yang berkembang pesat serta sarat dengan teknologi baharu.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau memuji peranan MTUN yang menghimpunkan beberapa universiti teknikal negara sebagai pemacu utama dalam melahirkan tenaga kerja mahir dan berdaya saing tinggi.

“MTUN ini agak menarik kerana ia dibuat untuk melahirkan graduan yang khusus dalam apa yang kita istilahkan, kalau bahasa dulu kita panggil applied knowledge.”

“Mereka melaksanakan ilmu yang dipelajari pada peringkat asas, khususnya dalam bidang pembuatan, iaitu mereka yang akan menjadi kompeten dari segi teknikal, berorientasikan amalan, dan bersedia untuk memasuki kilang,” katanya.

Majlis berkenaan turut menyaksikan pertukaran 27 dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian antara MTUN dengan rakan industri, sekali gus mencerminkan keyakinan sektor berkenaan terhadap kepakaran universiti teknikal tempatan.