PUTRAJAYA, 5 April- Produk perancangan warisan Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) seperti hibah dan wasiat akan ditawarkan secara automatik.
Ia akan memanfaatkan Pemilik Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah Syarikat Perumahan Negara Malaysia (SPNB).
Kerjasama kedua-dua agensi itu memberi manfaat kepada pemilik untuk kelangsungan pemilikan kediaman oleh pewaris pada masa depan dengan bayaran serendah RM1,000.
Sesi menandatangani perjanjian tersebut disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya Ahmad Feizal Sulaiman Khan dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SPNB Zahanuddin Kamarudin.
Perjanjian disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi SPNB Datuk Husam Musa dan Pengerusi AmanahRaya Tan Sri Idrus Harun di Putrajaya.
SPNB akan melaksanakan sebanyak 3,500 unit RMR pada tahun ini dan sehingga kini, 66, 195 unit siap dibina di seluruh negara.
Program RMR diwujudkan bagi membantu golongan berpendapatan isi rumah di bawah RM5,000 yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang tetapi mempunyai tanah untuk membina kediaman sendiri.