ANGKASAPURI, 4 April- Kerja-kerja perobohan Stadium Shah Alam dijangka bermula Mei atau Jun tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor, Ts Saipolyazan M Yusop berkata, ia akan selesai pada pertengahan tahun hadapan.
"Kami telah menandatangani perjanjian bersama dengan MRCB (Malaysian Resources Corporation Berhad) pada 6 Februari dan kami memberikan kontraktor selama tiga bulan untuk menyediakan semua dokumen berkaitan sebelum mereka memulakan kerja perobohan.
"Insya-Allah, kami akan mulakan kerja perobohan itu dalam bulan Mei atau Jun dan mengambil masa antara lapan hingga 12 bulan. Selepas itu barulah proses pelantikan pemaju untuk membangunkan semula Stadium Shah Alam," katanya.
Beliau ketika ditemui pemberita ketika kunjungan MBI Selangor di sini bagi menyampaikan juadah berbuka kepada warga Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Kunjungan Ts Saipolyazan disambut oleh Pengarah Bahagian Program Radio RTM, Saifuzzaman Yusop, Timbalan Pengarah Berita Ehwal Semasa RTM, Md Shahri Saripan serta warga RTM yang lain.