fb fb fb fb fb

Kerja pembesaran jalan persimpangan di Kluang dijadual siap November ini

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan

KLUANG, 25 September - Peruntukan RM500,000 disalurkan bagi kerja-kerja pembesaran lorong persimpangan Jalan Persekutuan-FT50 Batu Pahat-Mersing dan dijadual siap akhir November ini.

Ia bertujuan mengatasi isu kesesakkan terutama pada waktu puncak.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kerja pembesaran lorong persimpangan Jalan Ismail menuju Jalan Mengkibol dan Jalan Hospital ke Jalan Station di bawah landasan keretapi Kluang itu akan bermula dalam masa terdekat.

"Kawasan ini pada waktu puncak hujung minggu, ia akan sesak teruk. Oleh itu kerajaan telah bersetuju dan kelulusan telah diberi sebelum penamaan calon lagi untuk besarkan lorong itu. Sebenarnya kita mahu mula awal tetapi, kita mahu urusan pilihan raya dahulu, jadi kita telah bersetuju supaya ia dilakukan sebaik sahaja selepas PRK Mahkota," kata Ahmad Maslan.

Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau lokasi projek itu yang disertai Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol Chew Chong Sin.

Beliau menyifatkan pelaksanaan projek itu sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap permasalahan rakyat selain selaras dengan komitmen kerajaan menyediakan infrastruktur yang baik dan selamat.

Sementara itu, berhubung masalah banjir di Kluang, Ahmad berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menghantar permohonan rancangan induk untuk mengatasi masalah itu yang antaranya melibatkan kawasan Kampung Padang Tembak, Kampung Paya serta Kampung Sembrong.

Perbincangan dengan pihak Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) juga akan diadakan bagi menyelesaikan isu berkenaan secara menyeluruh, katanya.

TETITIA YUSOFF