KUALA TERENGGANU, 11 Mei - Kerja-kerja pemasangan landasan Laluan Rel Pantai Timur, ECRL dari Dungun ke Besut, Terengganu dijadual dilaksanakan hujung Disember depan.
Ketika ini kerja-kerja pemasangan landasan dari Gebeng, Pahang ke Maran sedang dilaksana dan dijangka siap dalam tempoh sebulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata Terengganu mencatatkan peratusan tertinggi kemajuan kerja iaitu 82.3 peratus; mendahului empat lagi negeri di bawah projek itu.
Mengulas lanjut, jajaran ECRL direkabentuk bagi meminimumkan kacau ganggu kepada alam sekitar dengan mengelak semaksimum mungkin hutan simpan, sumber air dan habitat hidupan liar.
41 terowong dibina serta laluan bertingkat sepanjang 145 kilometer dan 28 lintasan hidupan liar di lokasi strategik.
"Ini sebahagian usaha untuk mengurangkan impak kepada alam sekitar. Sebab itu, kita berusaha kurangkan penglibatan jajaran dalam hutan dengan pembinaan terowong dan jambatan.
"Kalau kita bersetuju untuk pembinaan, mungkin pengambilan tanah lebih besar dan terpaksa korbankan hutan", katanya yang ditemui media selepas menghadiri Program Tanggungjawab Sosial (CSR) syarikat itu,Pemuliharaan Sungai Derhaka di sini.