fb fb fb fb fb

Kerja-kerja melebarkan jalan di kawasan Tudan hampir siap- Lee Kim Shin

Datuk Seri Lee Kim Shin menghadiri menghadiri program korban bersempena Hari Raya Aidiladha di Masjid Darul Iman Kampung Tudan Fasa 2A, Miri

MIRI, 17 Jun- Sejumlah RM5 juta telah diluluskan untuk melebarkan jalan-jalan utama yang memasuki kawasan Tudan di Miri, untuk tahun ini.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin berkata pada permulaannya jalan di kawasan Tudan adalah sempit sehingga menyukarkan perkhidmatan bas memasuki kawasan tersebut.

Melihat kepada keperluan itu, beliau bertindak untuk memohon peruntukan khas dan Premier, Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah meluluskan sebanyak RM5 juta bagi melebarkan jalan-jalan utama yang memasuki kawasan Tudan.

"Sebab itulah saya telah memohon peruntukan khas daripada Premier dan beliau telahpun meluluskan permohonan untuk melebarkan jalan utama masuk ke kampung ini, jadi kerja-kerja melebarkan jalan telah bermula pada bulan awal tahun ini dan hampir siap. Apabila siap nanti, jadi lebih mudahlah untuk perkhidmatan bas masuk ke kampung ini,"katanya.

Tambah beliau, perkhidmatan bas sangat diperlukan di kawasan tersebut bagi memudahkan penduduk ke tempat kerja selain kemudahan pengangkutan untuk para pelajar ke sekolah.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program korban bersempena Hari Raya Aidiladha di Masjid Darul Iman Kampung Tudan Fasa 2A, Miri.

Sebanyak dua ekor lembu, empat ekor kerbau dan tiga ekor kambing disembelih dalam ibadah korban pada tahun ini.

Sumbangan korban akan diagihkan kepada kira-kira 500 penduduk kampung yang beragama Islam dan juga anak-anak yatim.

Sementara itu dalam majlis yang berasingan di Masjid Al-Firdaus Taman Tunku, Miri kira-kira 1,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha pada pagi tadi.

Menurut Pengerusi Masjid Al-Firdaus Taman Tunku Alwi Amin, sebanyak 12 ekor lembu disembelih dan jumlah tersebut merupakan yang terbanyak setakat ini di Miri.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE