KUALA LUMPUR, 4 Februari- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kenaikan harga lantai padi yang bakal diumumkan minggu depan adalah munasabah serta mengambil kira kesejahteraan pesawah dan pengguna.
Kerajaan juga akan menyediakan subsidi tambahan sekurang-kurangnya RM150 juta bagi tempoh enam bulan untuk mengimbangi harga beras dalam pasaran dan mengurangkan beban rakyat.
Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan keseimbangan dalam ekosistem industri beras tanpa meminggirkan mana-mana pihak.
"Menteri (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu) akan beri penjelasan minggu depan kerana kita mahu harga yang baik bagi pengguna tanpa menjejaskan pesawah. Kenaikan kecil pada 2024 tidak mencukupi, jadi kita perlu menambah RM150 juta sebagai langkah minimum bagi tempoh enam bulan supaya kos kepada pengguna tidak meningkat.
"Kita tidak boleh hanya mempertahankan satu pihak -- sama ada pengguna atau pesawah -- tanpa mempertimbangkan kesan kepada keseluruhan ekosistem," katanya menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut meluluskan peruntukan RM1 bilion bagi meningkatkan produktiviti tanaman padi serta memastikan kelangsungan dasar agromakanan negara.
Dana itu akan disalurkan melalui Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan dijangka dilancarkan pada akhir bulan ini.