fb fb fb fb fb

Kerajaan tumpu usaha pembaharuan ekonomi, perkukuh ringgit

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah

KUALA LUMPUR, 19 Mac- Kerajaan terus menumpukan usaha pembaharuan ekonomi bagi mengukuhkan prestasi ekonomi dan mata wang ringgit.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah berkata, melalui kerangka Ekonomi MADANI, ia dapat memastikan Malaysia menjadi antara destinasi pelaburan yang berdaya saing.

Sehubungan itu,, rakyat digalakkan mengamalkan sikap 'Malaysia First' dengan membeli barangan dan perkhidmatan Malaysia, serta melabur dalam unit amanah dan pelaburan lindung domestik

"Kempen melancong dalam negara dan beli barangan tempatan terus ditingkatkan kerana ia membantu dalam memperkukuh nilai ringgit serta menambah baik prestasi ekonomi.

"Bagi menggalakkan kemasukan pelancong luar negara, Kerajaan mengambil langkah antaranya mengecualikan visa selama 30 hari untuk warganegara Cina dan India mulai Disember 2023,"katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukan Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz di Parlimen

Tambahnya, Kerajaan turut komited dalam memastikan prestasi nilai ringgit berada pada tahap lebih baik dan mengukuh.

Untuk itu, Bank Negara Malaysia (BNM) sentiasa memastikan pasaran pertukaran asing dalam negeri kekal teratur dan mengekalkan kestabilan kewangan serta memantau pasaran kewangan selain mengambil langkah campur tangan dalam pasaran pertukaran asing bagi membendung pergerakan mata wang yang berlebihan.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Amir memaklumkan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dinaikkan sebanyak RM2 bilion menjadikan RM10 bilion tahun ini.

Kerajaan juga telah memperuntuk RM58.1 billion bagi membantu mereka yang terkesan kepada kenaikan sekali gus memberi kesan langsung kepada rakyat.

Ia merangkumi subsidi, insentif serta bantuan.

"Antara langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan adalah menyediakan RM200 juta untuk meneruskan pelaksanaan inisiatif Payung Rahmah bagi menolong golongan B40 bersedia menangani kos sara hidup termasuk memperluaskan program Jualan Rahmah,"katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE