fb fb fb fb fb

Kerajaan tidak pernah lepas tanggungjawab jaga Polis dan penjawat awam

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar menerima buku Sejarah Penubuhan 69 Komando serta buku Lahad Datu Mac 2023 daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin / Foto BERNAMA

IPOH, 4 Mei - Kerajaan tidak pernah melepaskan tanggungjawab membela nasib penjawat awam termasuk polis meskipun negara mewarisi hutang yang besar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jasa dan tanggungjawab pihak polis dalam menjaga keselamatan negara diakui penting.

"Jasa siapa yang menyebabkan politik dan negara stabil dan aman kalau tidak kerana pasukan pertahanan negara terutamanya PDRM. Sebab itu, Saya tabik kepada pasukan ini", katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Raya MADANI bersama Warga 69 Komando di Ulu Kinta, di sini, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri menyaksikan penyerahan Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando yang turut disaksikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Pada majlis tersebut, dokumen penyerahan disampaikan Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Dalam Negeri, Ahmad Fuad Apandi kepada Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) (Sektor Bangunan) Datuk Ir Badioezaman Ab Khalik.

Pembinaan Kem Sultan Nazrin Shah bermula pada 2018 dengan kos RM236 juta oleh kontraktor utama projek itu Syarikat Sujaman Sdn Bhd, manakala pada 14 Februari lalu kem berkenaan mendapat sijil siap kerja dan pihak 69 Komando beroperasi secara berperingkat di situ.

Pada majlis sama, Tan Sri Razarudin turut menyerahkan buku Sejarah Penubuhan 69 Komando serta buku Lahad Datu Mac 2023 kepada Perdana Menteri.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD