KUALA LUMPUR, 23 Februari- Kerajaan MADANI tidak memandang ringan isu penyusutan ringgit, tetapi mengambil langkah berterusan bagi menanganinya dan seiring usaha memastikan angka pelaburan Malaysia kekal utuh tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Begaimanapun beliau meminta semua pihak tidak membandingkan perkembangan semasa dengan keadaan pada 1998 yang tidak hanya menyaksikan penyusutan nilai ringgit, tetapi turut terjejas dari segi pelaburan dan inflasi.
"Cuba lihat secara keseluruhan, lihat angka pelaburan yang mana Malaysia mencatat rekod pelaburan terbesar dalam sejarah; inflasi terus menurun dan pertumbuhan adalah berdaya tahan berbanding negara-negara jiran.
"Bagi saya, kita perlu melihatnya dari perspektif menyeluruh dan keupayaan negara untuk mencatat pertumbuhan. Apa yang paling utama bagi saya adalah memastikan angka-angka pelaburan ini," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Tun Razak Exhange (TRX) sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa Malaysia di ibu negara.
Ketika ini, Bank Negara telah dipertanggungjawabkan untuk memantau ringgit secara teliti.
Majlis pelaburan juga mengadakan mesyuarat harian bagi memberi tumpuan menangani isu berkenaan.