fb fb fb fb fb

Kerajaan tidak kompromi elemen pelampau, 'perosak' - PM

Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 30 September- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang elemen 'perosak' dan pelampau yang boleh menjejaskan keamanan serta keselamatan negara.

Beliau menyatakan elemen seumpama itu perlu dikekang dan dihindari pada peringkat awal sebelum ia menular dalam kalangan masyarakat.

"Saya bukan apologetik. Walaupun saya menghormati kebebasan, saya tidak akan bertolak ansur dengan elemen perosak. Saya akan terus tegas mendukung dan mempertahankan keamanan negara dengan sepenuh hati. Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi lain perlu memastikan keamanan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara kerana itu lebih penting daripada menjaga imej Perdana Menteri di peringkat antarabangsa," katanya.

Tegasnya lagi pembangunan dan pemacuan ekonomi negara adalah penting seriring memberi keutamaan dalam aspek keselamatan serta keamanan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Tindakan Malaysia bagi Mencegah dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (MyPCVE) di sini hari ini.

Sementara itu, Perdana Menteri turut menekankan bahawa Pelan MyPCVE yang dilancarkan perlu dilaksanakan secara tegas serta didedahkan kepada masyarakat untuk difahami sepenuhnya.

Menurut beliau, masyarakat perlu diberi kefahaman sewajarnya mengenai pelan tersebut bagi memastikan usaha mengekang keganasan dan pelampau dapat dilaksanakan dengan berkesan.

"Ini harus difahami dengan jelas. Masyarakat dan rakyat perlu diberikan kefahaman mengapa pelan ini serta undang-undang berkaitan diperlukan untuk mengekang dan melarang sebarang tindakan ke arah keganasan yang dilakukan oleh pihak-pihak yang dianggap sebagai perosak keamanan.

"Jika kita menunggu dan membiarkan ia meluas, ia akan menjadi sebati dalam masyarakat dan lebih sukar untuk ditangani," katanya.

SITI AISHAH MD ISA