PUTRAJAYA, 13 Februari – Kerajaan akan meneruskan pembinaan dua lagi Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV) bagi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) walaupun kontrak asal dengan kontraktor terdahulu telah ditamatkan tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata projek itu penting bagi memastikan keselamatan perairan negara terus terjamin, terutama dalam mengawal sempadan laut seluas 590,000 kilometer persegi.
“Kami akan teruskan kerana lebih RM600 juta telah dibelanjakan untuk projek ini. Maritim Malaysia sebagai pengguna tidak boleh dibiarkan tanpa kapal yang mereka perlukan untuk menjalankan tugas penguatkuasaan. Mujur kita baru sahaja menandatangani satu perolehan dengan Turki bagi kapal induk (mothership),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Anugerah Inovasi Pendaftaran Negara 2024, di sini.
Saifuddin turut memaklumkan, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik Jeman telah diberi tanggungjawab untuk meneliti perkara berkaitan dan mencari kontraktor baharu.
Keputusan menamatkan kontrak asal dibuat secara persetujuan bersama, namun kerajaan menegaskan bahawa projek tersebut perlu diteruskan demi memastikan keupayaan aset penguatkuasaan maritim negara dapat dipertingkatkan.