
KUALA LUMPUR, 29 Mac- Kerajaan akan terus melindungi rakyat serta memastikan kestabilan harga barangan walaupun harga minyak global meningkat ketika ini susulan konflik di Asia Barat.
- Kerajaan menyalurkan subsidi melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) untuk sektor pengangkutan tertentu.
- Harga runcit petrol bersubsidi di bawah SKPS dikekalkan pada RM2.05 seliter bagi pengangkutan darat dan air awam serta pengangkutan barangan.
- Di bawah SKDS, diesel bersubsidi dikekalkan pada RM1.88 seliter untuk pengangkutan darat awam dan RM2.15 seliter untuk pengangkutan barangan.
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan usaha tersebut dibuat melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) iaitu subsidi bahan api bagi sektor pengangkutan darat dan air awam serta pengangkutan barangan tertentu.
“Langkah ini membantu agar kos pengangkutan terkawal dan harga barangan kekal stabil.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan global dan mengambil pendekatan berhemah demi melindungi kesejahteraan rakyat,” menurut MOF menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam hantaran itu, MOF turut berkongsi infografik yang menunjukkan harga runcit petrol bersubsidi di bawah SKPS bagi sektor pengangkutan darat dan air awam serta pengangkutan darat barangan dikekalkan pada RM2.05 seliter.
Bagi SKDS pula, harga runcit diesel bersubsidi bagi sektor pengangkutan darat awam kekal pada RM1.88 seliter manakala bagi sektor pengangkutan darat barangan dikekalkan pada RM2.15 seliter.