fb fb fb fb fb

Kerajaan teliti wajibkan label kandungan AI

Datuk Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 13 Julai - Kerajaan sedang meneliti cadangan mewajibkan pelabelan kandungan digital yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan (AI) sebagai 'AI Generated' menerusi Akta Keselamatan Dalam Talian yang bakal berkuatkuasa hujung tahun ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu penting bagi menangani penyalahgunaan teknologi AI, khususnya dalam penyebaran berita palsu, penipuan dan fitnah melalui platform media sosial.

“Kita lihat beberapa platform sosial secara sukarela sudah mula melabel kandungan mereka sebagai ‘AI generated’. Maka, kita mungkin pertimbang mewajibkannya di bawah akta baharu ini,” katanya selepas merasmikan Program Festival AI di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Angkasapuri Kota Media, di sini.

Datuk Fahmi turut menekankan bahawa penggunaan AI perlu dinilai secara menyeluruh di setiap peringkat organisasi dari segi manfaat, cabaran, keupayaan dan batasan teknologi tersebut.

“Persoalannya kini ialah siapakah yang patut menghasilkan kawal selia? Di peringkat negara, sudah pasti Parlimen dan kementerian seperti Kementerian Digital perlu ke hadapan. Tapi setiap kementerian juga perlu menilai penggunaan AI dalam kerja masing-masing.

Tambah beliau, persoalan mengenai pihak yang paling sesuai menggubal peraturan kawal selia AI masih dibincangkan.

“Sudah tentu Parlimen dan kementerian seperti Kementerian Digital akan memainkan peranan utama. Namun, setiap kementerian perlu menilai peranan AI dalam sektor masing-masing,” katanya.

Dalam perkembangan serantau, Malaysia bakal memeterai satu deklarasi khusus pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 Oktober ini, yang dikenali sebagai Deklarasi Kuala Lumpur Mengenai Penggunaan Media Sosial.

“Deklarasi ini akan menjadi kerangka kepada negara-negara ASEAN untuk mengguna pakai pendekatan bersama dalam menangani cabaran AI, terutama dari aspek sosial,” jelas beliau.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN