fb fb fb fb fb

Kerajaan teliti rangka perundangan untuk menangani pencemaran sisa plastik

Nik Nazmi Nik Ahmad

KLANG, 10 Februari- Kerajaan sedang meneliti rangka perundangan di peringkat nasional yang bakal diperkenalkan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13) bagi menangani isu pencemaran sisa plastik.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, langkah tersebut merupakan antara usaha berterusan kementerian itu dalam menguruskan sisa berkenaan dengan lebih lestari.

"Kawalan dan penguatkuasaan perundangan sedia ada ketika ini hanya di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan bukan satu dasar yang menyeluruh.

"Selama ini langkah-langkah yang dilakukan banyak bergantung kepada inisiatif di peringkat kerajaan tempatan ataupun kerajaan negeri dan ia bukan di peringkat nasional," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kapal Pengumpulan Sisa Mobula 8 di sini.

Kapal ini merupakan sumbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dari Switzerland kepada Marine Research Foundation sebagai inisiatif mengurangkan impak terhadap pencemaran plastik yang serius di negara ini.

Kapal itu akan ditempatkan di Kota Kinabalu, Sabah dalam masa terdekat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI