Kerajaan teliti perluas barangan SARA termasuk makanan sejuk beku

Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Februari – Cadangan memperluas kategori barangan di bawah Sumbangan Asas Rahmah (SARA) termasuk produk makanan sejuk beku kini dalam penelitian kerajaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan meneliti cadangan memasukkan makanan sejuk beku ke dalam kategori barangan SARA.
  • Perbincangan akan dilakukan bersama pasukan pelaksana SARA sebelum sebarang keputusan diumumkan.
  • Sasaran menambah kedai kecil dari 3,000 ke 10,000 untuk luaskan akses penerima SARA.
  • Tahap penggunaan SARA tinggi; 99 peratus penerima tidak menghadapi masalah.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata cadangan itu akan dibincangkan bersama pasukan pelaksana SARA bagi menilai kesesuaian sebelum sebarang keputusan diumumkan.

“Awal tahun ini Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah menyasarkan peningkatan jumlah kedai kecil daripada 3,000 kepada 10,000 sebelum penghujung tahun ini dan ia akan dilaksanakan di bawah kerajaan, sekali gus melebarkan akses kepada lebih ramai penerima skim SARA,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat.

“Bagi pendekatan kepada peniaga kecil, kita menekankan penggunaan barangan tempatan dan perkara ini akan ditambah baik serta pada masa depan akan diumumkan peluasan kepada barangan beku yang dibenarkan di bawah SARA,” katanya.

Beliau berkata tahap penggunaan SARA mencatat prestasi sangat baik dengan 99 peratus penerima tidak menghadapi masalah termasuk dari segi penyertaan kedai dalam skim berkenaan.