BANGI, 29 Oktober- Saman fitnah berjumlah RM10 juta terhadap seorang pengguna media sosial yang mendakwa kerajaan menutup sekolah pondok di Kelantan dan Kedah, bukti ketegasan kerajaan dalam mempertahankan institusi pendidikan Islam di negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menegaskan tuduhan yang dilemparkan bukan sahaja tidak benar, malah berniat jahat serta cuba merosakkan imej kerajaan dalam menjaga kepentingan sekolah pondok.
"Saya berpendapat perkara yang serius sebegini tidak boleh dijadikan mainan, dan disebabkan itulah tindakan saman telah diambil oleh saya terhadap individu tersebut. Saya berharap agar semua pihak memastikan mereka telah mengesahkan fakta terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan.
Kenyataan bahawa Kerajaan tidak serius dalam mempertahankan institusi pondok merupakan satu fitnah," kata Datuk Dr. Mohd Na'im kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Wakaf Smart Board kepada Yayasan Bangi Bandar Ilmu, bagi pelaksanaan Modul Mini Tahfiz di Kompleks Pendidikan Islam Bangi.
Tambahnya, penyebaran fitnah yang menyentuh institusi Islam tidak boleh dibiarkan kerana boleh menggugat keyakinan masyarakat terhadap usaha kerajaan memperkukuh pendidikan agama.
Terdahulu, Datuk Dr. Mohd Na’im memfailkan saman terhadap individu bernama Hafiz Sahidi, yang didakwa membuat kenyataan palsu berhubung penutupan sekolah pondok di media sosial.
Firma guaman Akberdin & Co turut mengeluarkan surat tuntutan kepada individu terbabit yang menyatakan dakwaan itu sebagai palsu, berunsur fitnah dan bertujuan memburukkan reputasi menteri berkenaan.
Pada masa sama, beliau memaklumkan satu laporan polis turut dibuat bagi memastikan siasatan dijalankan secara adil dan mengikut undang-undang.