Kerajaan sokong titah Sultan Selangor bantah aktiviti LGBT

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Januari – Kerajaan menyokong penuh titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan bantahan keras terhadap sebarang penganjuran aktiviti songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta tindakan tegas diambil untuk mengekangnya daripada terus berleluasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan menyokong penuh titah Sultan Selangor menzahirkan bantahan keras terhadap aktiviti LGBT.
  • Dr. Zulkifli Hasan berkata akan bekerjasama dengan pihak berautoriti untuk mendapatkan maklumat dan tindakan lanjut.
  • Tindakan tegas akan diambil bagi mengekang aktiviti LGBT supaya tidak berleluasa.
  • Sultan Selangor tegas bahawa promosi gaya hidup LGBT bercanggah dengan Maqasid Syariah dan ancam akidah umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) , Dr. Zulkifli Hasan berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pihak yang berautoriti bagi mendapatkan maklumat dan tindakan lanjut.

“Kita sokong titah Tuanku, kita melihat bahawa kita menyokong sepenuhnya titah Tuanku, kita berdoa moga-moga semua ini dapat kita tangani secara baik mengikut lunas undang-undang,” kata beliau selepas menghadiri Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-25 sebuah stesen radio Islamik utama tempatan serta Kempen Mahabbah MADANI Ramadan 1447H, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli.

Terdahulu, Sultan Selangor menegaskan sebarang usaha mempromosi gaya hidup songsang LGBT adalah bercanggah dengan Maqasid Syariah malah mengundang normalisasi LGBT yang boleh menjadi satu ancaman kepada akidah umat Islam.

Ketegasan baginda itu berikutan laporan media berhubung penganjuran aktiviti songsang ‘Glamping With Pride’ yang dijadualkan berlangsung pada 17 dan 18 Januari ini di Hulu Langat, Selangor namun dibatalkan oleh pihak penganjur pada Selasa lalu atas faktor keselamatan.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan