
KOTA BHARU, 7 Februari – Kerajaan memandang serius terhadap mana-mana negeri yang dikesan masih mempunyai gerakan ajaran sesat dan akan mendapatkan laporan lengkap sebelum mengambil tindakan susulan.
- Kerajaan serius pantau dan siasat gerakan ajaran sesat di negeri sebelum tindakan susulan diambil.
- Pihak Persekutuan akan berhubung dan bantu kerajaan negeri sambil menyelaras melalui agensi berkaitan.
- Tabayyun dan laporan lengkap diperlukan sebelum memberi komen lanjut mengenai isu ajaran sesat.
- Orang ramai diminta tidak buat spekulasi kes kematian Zara Qairina; hormati proses inkues dan mahkamah.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, berkata pihaknya akan berhubung dengan kerajaan negeri terlibat bagi memahami situasi sebenar selain membantu menyelesaikan permasalahan berkenaan.
Menurut beliau, isu berkaitan hal ehwal agama berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, namun kerajaan Persekutuan akan memainkan peranan membantu serta menyelaras melalui agensi berkaitan.
“Kita di peringkat Persekutuan akan membantu dan menyelaras apa jua isu di peringkat negeri. Berhubung ajaran sesat, saya tidak boleh mengulas lebih lanjut kerana kita perlu mendapatkan laporan dan melakukan tabayyun terlebih dahulu untuk mengetahui apa yang sedang berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Ihya’ Ramadan dan Pelancaran Program Pendidikan Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan (YAATIM) di Pengkalan Chepa.
Media sebelum ini melaporkan, lapan ajaran yang telah difatwakan sesat dikesan masih wujud dan dipantau pihak berkuasa agama negeri, antaranya Hizbut Tahrir, Syiah, Wahabi, Millah Abraham, Si Hulk, GISBH, Qadiani serta The Ahmadi Religion of Peace and Light.
Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menokok tambah atau membuat sebarang spekulasi berhubung kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina yang kini berada di peringkat inkues.
Marhamah berkata, semua pihak diminta menghormati proses perundangan dan menyerahkan sepenuhnya urusan berkenaan kepada mahkamah.
“Kes ini sudah berada di peringkat inkues, jadi kita jangan bercakap perkara yang tidak pasti. Biarlah mahkamah yang menguruskan dan membuat keputusan sewajarnya. Kita sebagai orang luar hanya perlu memberi sokongan dan mendoakan agar kes ini dapat dirungkai dengan baik,” katanya.
Zara Qairina, 13 tahun, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar.