fb fb fb fb fb

Kerajaan serius pastikan isu Palestin terus dapat perhatian antarabangsa - Fahmi

Fahmi Fadzil

SERDANG, 19 Februari- Sokongan kerajaan terhadap Palestin adalah berkait soal kemanusiaan dan hak sejagat yang perlu difahami dengan jelas. 

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ia bukti kerajaan serius bagi memastikan penderitaan yang dialami penduduk Palestin angkara kezaliman Israel terus meraih perhatian antarabangsa.

Ia sekali gus diharap dapat menamatkan pergolakan di wilayah tebing barat itu.

"Dunia barat contohnya, ramai pemimpin yang memihak kepada Israel tetapi Kerajaan Malaysia melalui Menteri Luar, Perdana Menteri (melakukan) banyak interaksi dengan pemimpin-pemimpin negara lain.

"Alhamdulillah, dalam tempoh beberapa bulan, banyak negara-negara ini telah berubah pandangan termasuklah United Kingdom.

"Kalau kita tidak lakukan, siapa yang akan lakukan? Kalau tiada siapa yang lakukan, maka kita semua, bagi saya terjerumus ke dalam satu gaung yang dahsyat," katanya dalam program temubual dalam talian 'Ini Kopi Kita: Sembang Anak Malaysia' secara langsung di Universiti Putra Malaysia di sini.

Tambah Fahmi, kesungguhan dan keprihatinan kerajaan itu jelas memberi impak besar terhadap isu kemanusiaan di Gaza yang selama ini tidak henti-henti ditindas oleh penjajah Israel.

SITI AISHAH BINTI MD ISA