
KUALA LUMPUR, 5 Mac -Kebergantungan terhadap tenaga kerja asing disasarkan untuk dikurangkan kepada 10% daripada keseluruhan tenaga kerja menjelang 2030 dan 5% menjelang 2035.
- Kerajaan sasar kurangkan kebergantungan tenaga kerja asing kepada 10% menjelang 2030 dan 5% menjelang 2035.
- Mekanisme levi pelbagai peringkat diperkenalkan mulai 2026 untuk galakkan pekerja tempatan dan peluang pekerjaan berkualiti.
- Perkukuh pembangunan wilayah inklusif dengan infrastruktur strategik, industri pertumbuhan tinggi dan ekonomi baharu.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, langkah itu akan dilaksanakan melalui mekanisme levi pelbagai peringkat bermula tahun ini, bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat tempatan.
“Dalam hubungan ini, kerajaan menyasarkan pengurangan kebergantungan tenaga kerja asing kepada 10%, daripada keseluruhan tenaga kerja menjelang tahun 2030 dan seterusnya 5% menjelang tahun 2035 melalui mekanisme levi pelbagai peringkat mulai tahun ini 2026. Dijangka mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat tempatan di seluruh negara,” katanya di Dewan Negara.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr Mustafa Musa berhubung strategi kerajaan memacu ekonomi wilayah selaras perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW) isi rumah 2025 bagi merancakkan pekerjaan dan aktiviti setempat.
Tambahnya, kerajaan terus memperkukuh pembangunan wilayah secara inklusif termasuk mempercepat pelaksanaan infrastruktur strategik, memperkasa industri pertumbuhan tinggi dan mengembangkan ekonomi baharu seperti ekonomi biru, hijau, jingga serta digital.
Intervensi bersasar dalam sektor perumahan, pengangkutan dan keterjaminan makanan turut dipertingkat bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup antara wilayah.