BANGI, 24 Januari- Kerajaan menyasarkan keupayaan 150,000 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) menjelang akhir 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bagi menampung keperluan khususnya ketika berdepan situasi kecemasan dan bencana banjir.
"Kita merasakan bahawa APM sebagai barisan ketiga pertahanan negara kita dan juga merupakan agensi bantuan sokongan hendaklah lebih diperkasakan. Untuk itu, kita mahu membesarkan lagi jumlah anggota pegawai dan anggota sukarelawan yang menyertainya.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan keanggotaan Briged Seni APM diperbesar termasuk memanggil tokoh seni dan selebriti tersohor bagi menarik minat anak muda untuk beruniform. Pengamal media khususnya wartawan juga dipelawa menyertai sukarelawan APM menerusi modul latihan jangka pendek.
"Hari ini kita akan lebih besarkan Briged Seni dengan menjemput kumpulan artis untuk sertai APM dan akan menjalankan misi membantu mangsa bencana dan kecemasan. Ini akan beri satu optik yang berbeza. Kursus jangka pendek akan dilaksanakan untuk wartawan dan apabila berada di lokasi bencana, mereka boleh datang dengan beruniform dan ini memberikan optik yang cukup baik kepada mangsa dan khalayak", katanya.
Beliau ditemui selepas Lawatan Kerja Timbalan Perdana Menteri ke Ibu Pejabat APM di Bangi.