fb fb fb fb fb

Kerajaan sasar buka empat lagi pusat mediasi komuniti tahun ini

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang / Foto Fail

KUALA LUMPUR, 17 April - Empat lagi Pusat Mediasi Komuniti (CMC) disasar dibuka tahun ini bagi melengkapi jumlah sedia ada.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata pusat itu dicadang dibuka di Putrajaya, Melaka, Perlis dan Negeri Sembilan melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Beliau berkata, tahun lepas sebanyak empat CMC berjaya ditubuhkan di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Perak dan Johor.

"Terdapat empat objektif utama penubuhan CMC ini iaitu menawarkan perkhidmatan mediasi bagi membantu menyelesaikan pertikaian dan konflik di peringkat komuniti," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Objektif lain CMC katanya adalah memberikan perkhidmatan mediasi secara probono (percuma), memberikan khidmat nasihat dan kaunseling serta menjalankan aktiviti dan program promosi berkaitan mediasi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN