Kerajaan salur RM3.1 juta bagi Fasa Pertama Dharma MADANI

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan (dua, kiri) menyampaikan surat pemakluman program Dharma MADANI KESUMA kepada penerima, hari ini/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 27 Januari Sejumlah 155 buah kuil Hindu di seluruh negara diluluskan menerima bantuan kewangan berjumlah RM3.1 juta di bawah Fasa Pertama Program Dharma MADANI, dengan setiap kuil menerima RM20,000 bagi melaksanakan program komuniti masing-masing.

RINGKASAN BERITA AI
  • 155 kuil Hindu terpilih menerima RM3.1 juta di bawah Fasa Pertama Program Dharma MADANI, masing-masing RM20,000.
  • Kelulusan hanya untuk kuil yang memenuhi syarat tadbir urus dan ketelusan ditetapkan oleh MITRA.
  • Nama penerima akan dipaparkan di laman MITRA untuk memastikan keterbukaan dan menilai proses pengagihan bantuan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata daripada 915 permohonan yang diterima, hanya kuil yang memenuhi kelengkapan dan keperluan tatakelola ditetapkan telah diluluskan, termasuk kuil dari Sabah, Sarawak, Johor dan Perak.

Beliau menegaskan, pelaksanaan program tersebut memberi penekanan kepada aspek tadbir urus dan ketelusan bagi mengelakkan sebarang salah guna dana awam.

“Kuil-kuil yang diluluskan ini telah mematuhi semua syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh MITRA (Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia).

“Nama penerima bantuan akan dipaparkan di laman sesawang rasmi MITRA. Ini bagi memastikan keterbukaan dan menunjukkan bahawa tidak ada apa yang ingin disembunyikan,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani dan penyerahan surat pemakluman program Dharma MADANI KESUMA, di sini hari ini

Menurut beliau, langkah tersebut turut membolehkan orang ramai menilai secara terbuka proses pengagihan bantuan yang dilaksanakan kerajaan.

Program Dharma MADANI menyasarkan penyertaan 1,000 buah rumah ibadat Hindu berdaftar di seluruh negara.

“Sejak pendaftaran dibuka, sebanyak 915 permohonan telah diterima dan diteliti oleh MITRA selaras dengan tatakelola serta peraturan yang berkuat kuasa.

“Baki permohonan diterima akan dipertimbangkan dalam fasa kelulusan seterusnya dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) akan memaklumkan keputusan rasmi kepada pihak kuil yang terlibat dari semasa ke semasa,” katanya.

Datuk Seri R. Ramanan berharap pengerusi dan wakil pengurusan kuil akan memanfaatkan peruntukan disalurkan dengan penuh tanggungjawab, berlandaskan prinsip tatakelola yang baik serta memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh oleh komuniti India setempat.