fb fb fb fb fb

Kerajaan rancang perkenal kuota tambahan perkhidmatan e-hailing

Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron ditemui pemberita selepas merasmikan Program Junior Innovathon 2025 di Auditorium Seri Angkasa, Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 2 Oktober -Kerajaan dijangka memperkenalkan kuota tambahan bagi perkhidmatan e-hailing dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada penambahbaikan bawah inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron, berkata, perkara itu kini dalam penelitian dan jumlah kuota tambahan berkenaan akan diumumkan tidak lama lagi.

"Kuota tambahan untuk e-hailing akan diumumkan berdasarkan keputusan yang akan dibuat oleh pihak kerajaan. Ada kemungkinan ia turut diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2026," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Junior Innovathon 2025 di Auditorium Seri Angkasa, di sini.

Turut hadir pada majlis itu ialah, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas dan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman.

Semalam, kerajaan dilaporkan bersetuju untuk memberi had kelayakan tambahan subsidi BUDI95 pemandu e-hailing sepenuh masa bermula 15 Oktober ini, selain permohonan berkelompok akan dibuat secara terus dengan syarikat pengendali (EHO).

Beliau menegaskan, setiap dasar yang diperkenalkan kerajaan akan terus diperkasa melalui penambahbaikan dari semasa ke semasa agar manfaatnya dapat dinikmati rakyat secara menyeluruh.

TETITIA YUSOFF