fb fb fb fb fb

Kerajaan rancang peralihan ke arah GovTech

Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Bilangan 7 Tahun 2023

KUALA LUMPUR, 11 Disember- Kerajaan dalam perancangan untuk peralihan berkala ke arah GovTech kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Bilangan 7 Tahun 2023.

Dalam hantarannya di facebook Anwar berkata, "GovTech adalah pendekatan keseluruhan kerajaan untuk pemodenan sektor awam yang memberi fokus kepada perkhidmatan awam yang mudah diakses dan berpaksikan rakyat, transformasi kerajaan digital dan menjadikan sistem kerajaan yang mudah, cekap dan telus."

Ke arah meningkatkan kepakaran digital yang khusus dalam Kerajaan dan menyegerakan pelaksanaan Identiti Digital Nasional, kerajaan akan melaksanakan kolaborasi strategik antara Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Unit Nukleus GovTech di bawah Kementerian Kewangan dan MIMOS Berhad.

Perkara itu bagi memastikan rakyat mendapatkan perkhidmatan digital yang selamat, terjamin dan terlindung.

"Semua kementerian dan agensi akan memberi kerjasama rapat dengan MAMPU untuk menjayakan GovTech Malaysia melalui sokongan dan pelaksanaan semua inisiatif digital negara secara rentas Kementerian," katanya.

Kerajaan turut memastikan inisiatif pemodenan dan pendigitalan sektor perkhidmatan awam dipertingkat supaya dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI