fb fb fb fb fb

Kerajaan Pulau Pinang bentang Belanjawan 2024 berjumlah RM1.422 bilion

Kerajaan negeri akan sentiasa berusaha untuk melonjakkan pembangunan negeri disamping memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa dipelihara - Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN, 24 November - Kerajaan negeri Pulau Pinang membentangkan Belanjawan 2024 berjumlah RM1.422 bilion dengan anggaran defisit RM514.53 juta.

Menurut Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow daripada jumlah itu, RM1.047 bilion akan digunakan sebagai perbelanjaan mengurus untuk tahun depan.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak RM58.13 juta berbanding tahun ini, sementara perbelanjaan pembangunan pula dicadangkan sebanyak RM374.718 juta.

Jelasnya, RM533.08 juta merupakan anggaran hasil yang boleh dikutip.

"Kerajaan negeri akan sentiasa berusaha untuk melonjakkan pembangunan negeri disamping memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa dipelihara.

"KDNK negeri Pulau Pinang bukan sahaja berkembang melebihi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kebangsaan malah mengatasi KDNK negeri-negeri lain dalam Malaysia," kata Chow Kon Yeow ketika membentangkan belanjawan itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini.

Dalam pada itu, Chow turut mengumumkan kerajaan negeri telah meluluskan bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada penjawat awam negeri itu sebagai tanda penghargaan.

Bayaran itu melibatkan 3,867 penjawat awam negeri dengan implikasi kewangan berjumlah lebih RM6 juta.

TETITIA YUSOFF