
KUCHING, 15 Februari– Satu perbincangan khas akan diadakan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak bagi meneliti formula terbaik berkaitan Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
- Perbincangan khas antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak akan diadakan untuk meneliti formula Perkara 112D.
- Perbincangan melibatkan Kementerian Kewangan dan Pejabat Kewangan Negeri Sarawak untuk memastikan formula adil dan komprehensif.
- Tujuan perbincangan ialah memuktamadkan kaedah pengiraan pemberian khas selari dengan Perlembagaan dan keperluan pembangunan Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof berkata, pertemuan itu akan mengambil kira sudut pandang kedua-dua pihak sebelum satu keputusan muktamad dicapai demi kepentingan negara.
Menurut beliau, perbincangan berkenaan akan melibatkan Kementerian Kewangan serta Pejabat Kewangan Negeri Sarawak (SFO) bagi memastikan formula yang dipersetujui bersifat adil dan komprehensif.
“Sarawak ada formula, Persekutuan pun melihat pada sudut pandang mereka. Jadi dengan perjumpaan tersebut kita dapat muktamadkan formula yang terbaik untuk kepentingan negara”, katanya demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Geran Tahunan kepada Masjid dan Surau bagi Parlimen Petrajaya di Kuching, malam tadi. (Sabtu).
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petrajaya diminta mengulas kenyataan Abang Johari Tun Openg sebelum ini yang mencadangkan jumlah pemberian khas kepada Sarawak ditentukan berdasarkan peratusan hasil yang dijana negeri berkenaan.
Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan geran kerajaan berjumlah RM330,000 yang diagihkan kepada 30 masjid dan 60 surau di kawasan Parlimen Petrajaya.
Perbincangan yang bakal diadakan itu dilihat sebagai langkah penting dalam memperincikan kaedah pengiraan Pemberian Khas agar selari dengan semangat Perlembagaan serta keperluan pembangunan Sarawak.