fb fb fb fb fb

Kerajaan Persekutuan sambut baik titah Sultan Selangor - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2024 anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia di sebuah hotel di Ibu Negara

KUALA LUMPUR, 15 Februari - Pihak berkepentingan wajar memberi pandangan kepada Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Menggubal Undang-undang Islam, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan tindakan itu perlu bagi mengelak keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan minggu lalu terus dimanipulasi.

Kerajaan katanya senada dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menekankan keperluan untuk meredakan suhu terkait keputusan mahkamah tertinggi itu khususnya yang menyentuh kedudukan Mahkamah Syariah.

"Maka apa yang dititah oleh Sultan Selangor, merujuk kepada kepada keputusan Mahkamah Persekutuan, Malaysia ini negara mempunyai undang-undang. Ia patuh kepada perlembangaan, keputusan Mahkamah Persekutuan menurut Tuanku perlu dihormati kerana Mahkamah Persekutuan tunduk kepada hukum dan semangat perlembagaan. Tidak timbul nak meringankan dan meremehkan kedudukan Mahkamah Syariah," Anwar berucap dalam Program Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCM) di sini.

Turut sama hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan menteri-menteri kabinet lain serta Presiden ACCCM, Tan Sri Low Kian Chuan.

Dalam pada itu, Anwar memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya mampu menjadi sebuah negara membangun.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan, perkara itu memandangkan kerajaan mempunyai kekuatan dua per tiga sekali gus menyumbang kepada kestabilan politik.

Anwar turut mempunyai keyakinan akan terus kekal mengemudi Kerajaan Perpaduan bagi tempoh empat tahun sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Saya beri jaminan, kita tidak akan tergugat kita masih kuat. Kita masih ada dua per tiga dalam kerajaan. Dan kita akan gunakan kekuatan tahun ini 2024 fokus utama adalah mengangkat semula Malaysia sebagai negara yang ada kekuatan ekonomi, pelaburan dan pembangunan yang boleh dibanggakan," katanya.

Kerajaan juga tidak boleh terikut dengan pendekatan atau kaedah lama malah perlu bersedia untuk membawa perubahan dengan menumpukan isu secara bersama.

"Beberapa dasar seperti transisi tenaga, transformasi digital dan isu keterjaminan makanan melibatkan keperluan meningkat juga harus diberi penekanan. semua kementerian tumpu untuk tingkatkan usaha dalam bidang tersebut dan tidak boleh ikut lagi kaedah lama," katanya.

TETITIA YUSOFF