LANGKAWI, 19 Mei - Usaha memacu pembangunan Langkawi sedang dilaksana kerajaan Persekutuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, fokus diberikan kepada kemudahan awam termasuk lapangan terbang dan perkhidmatan feri, selain pendidikan.
Beliau memaklumkan, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang juga Pengerusi bersama Lembaga Pengarah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), sedang meneliti perkara tersebut.
Laporan awal dijangka dapat diterima dalam masa dua minggu.
"Meskipun Langkawi menunjukkan perkembangan yang pesat, kemajuan itu tidak akan bermakna sekiranya prasarana asas tidak mencukupi.
"Sehubungan itu, saya meminta Menteri Kewangan II meneliti dan meningkatkan pembangunan infrastruktur di pulau peranginan tersebut," kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar berucap pada Majlis Perasmian Pejabat Parti Keadilan Rakyat Cabang Langkawi.
Jelasnya lagi, penelitian turut mengambil kira keperluan memperbesar kawasan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA).
Ia bagi menampung lebih banyak penyertaan pempamer dan pasukan pertahanan dari dalam serta luar negara yang terus bertambah.