fb fb fb fb fb

MA63: Kerajaan Perpaduan selesai banyak perkara dalam setahun pentadbiran - PM

FOTO FB Anwar Ibrahim

TENOM, 7 Disember- Banyak perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berjaya diselesaikan oleh Kerajaan Perpaduan dengan lebih pantas, biarpun baru setahun mentadbir negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelbagai langkah diambil untuk merealisasikan perkara itu antaranya mengeluarkan arahan kepada Timbalannya, Datuk Seri Fadillah Yusof supaya mempengerusi mesyuarat melibatkan MA63 bagi menyegerakan perlaksanaan perkara-perkara berkaitan.

Untuk Sabah, banyak perkara dalam MA63 telah berjaya diselesaikan termasuk pengembalikan semula kuasa pengurusan bekalan elektrik serta kuasa meluluskan projek kecil kepada kerajaan negeri itu.

"Dalam tempoh setahun ini, kita selesaikan lebih pantas berbanding puluhan tahun sebelumnya. Saya jelaskan kerana ada tokoh politik di Sabah gunakan cerita ini untuk tarik minat orang Sabah, guna sentimen.

"Kalau ada fakta saya tiada masalah, tetapi kalau putar belit saya terpaksa jawab,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di sini.

Tambah Anwar, pemimpin kerajaan sentiasa terbuka terhadap sebarang kritikan, namun kritikan itu tidak harus memecahbelahkan perpaduan sedia ada.

Sementara itu, beliau turut mahu pembangunan kemudahan rakyat Sabah termasuk bekalan air, elektrik dan Lebuh Raya Pan Borneo dipercepat.

"Kadang-kadang kita pecah tanah tetapi pelaksanaan projek selalu tertangguh.

"Tertangguhnya projek bakal membawa kepada dua kesan (iaitu) kos meningkat dan harapan rakyat untuk memperolehi kemudahan itu tertangguh," katanya.

Anwar berkata, sebanyak RM16.217 bilion diperuntukan untuk perbelanjaan pembangunan dan pengurusan Sabah.

Jumlah terbabit adalah terbesar berbanding negeri lain di Malaysia.

SITI AISHAH BINTI MD ISA