fb fb fb fb fb

Kerajaan Perpaduan komited pastikan agenda bumiputera diberi keutamaan

Rafizi Ramli

PUTRAJAYA, 19 Ogos- Kerajaan Perpaduan komited untuk memastikan agenda bumiputera terus diberi keutamaan dalam setiap perancangan pembangunan sosioekonomi negara.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, perkara itu dapat dilakukan melalui reformasi struktur ekonomi ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

Masih ada ruang dan peluang untuk berikhtiar dalam mencari solusi terbaik agar sosioekonomi kaum bumiputera menjadi lebih maju dan makmur malah setara dengan kaum lain serta gah untuk bersaing di pentas dunia

"Masih terdapat pelbagai isu yang membelenggu bumiputera pada hari ini, seperti status sosioekonomi yang masih terperangkap dalam kelas menengah dan sederhana serta penyertaan bumiputera yang tertumpu dalam aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai tambah yang rendah.

"Ini secara tidak langsung telah menyebabkan jurang pendapatan dan kekayaan antara etnik semakin melebar," katanya ketika berucap di majlis pelancaran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) di sini.

Rafizi mejelaskan kaum bumiputera mempunyai peluang dan potensi untuk memainkan peranan lebih bermakna dalam sektor dan industri baharu yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi, termasuk industri High Growth High Value (HGHV).

Bagaimanapun komitmen untuk memastikan agenda bumiputera terus diberi keutamaan dalam setiap perancangan pembangunan sosioekonomi negara tidak akan menafikan hak kaum lain.

Sebaliknya, ia dilihat mampu memberi manfaat kepada semua kaum dalam aspek pembangunan dan kemajuan negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI