fb fb fb fb fb

Kerajaan Perpaduan berjaya selesai sebahagian besar kandungan MA63

KUALA LUMPUR, 22 Januari- Isu agihan perbelanjaan tahunan serta lantikan wakil Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) merupakan antara perkara utama dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang berjaya diselesaikan Kerajaan Perpaduan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga bersetuju memulangkan kuasa untuk pelaksanaan perbelanjaan bagi pembangunan infrastruktur awam kepada kerajaan Sabah dan Sarawak, menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri masing-masing.

Tambah beliau, projek pembinaan infrastruktur awam di Sabah dan Sarawak juga akan dibiayai oleh kerajaan persekutuan dengan keseluruhan peruntukan diagihkan kepada kerajaan negeri secara bersyarat iaitu perlu melalui pengawasan dan peraturan kewangan ketat serta dipantau Kementerian Kewangan.

“Sebagai contoh peruntukan tahunan misalnya, Sarawak selama ini hanya menerima RM16 juta dan jumlah berkenaan dianggap tak munasabah bagi mereka.

Oleh itu, kita buat format dan peraturan bagi meningkatkan peruntukan berkenaan kepada RM300 juta setahun, tertakluk kepada beberapa perincian perjanjian,” katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di sini.

(Datuk Seri Anwar dan isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail hadir pada Majlis
Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran KLSCAH di sini / Foto BERNAMA)

Terdahulu, dalam ucapan beliau pada majlis itu, Perdana Menteri menegaskan, sebahagian besar peruntukan dalam MA63 yang berlarutan lebih 60 tahun berjaya diselesaikan semasa mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang disertai Ketua Menteri Sabah dan Sarawak, pada Jumaat lalu.

Datuk Seri Anwar berkata, ia berjaya diselesaikan menerusi sokongan dan semangat perpaduan semua gabungan politik yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

Media Baharu