fb fb fb fb fb

Kerajaan Perpaduan akan hasilkan lebih banyak reformasi - Anwar

Foto BERNAMA

DOHA, 14 Mei- Lebih banyak reformasi akan dapat dilaksanakan hasil persefahaman jitu daripada setiap parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meski kerajaan berdiri bawah beberapa gabungan parti politik, namun kestabilan tetap dicapai.

"Dan saya rasa, penghargaan perlu diberikan kepada parti yang saya pimpin dan gabungan, termasuk gabungan dari Sarawak dan Sabah.

"Saya katakan, sudah satu setengah tahun, tiada siapa, dan tanpa keterlaluan, tiada seorang pun daripada mereka (gabungan) cuba dan datang kepada saya dan berkata, tidak Anwar, perlahankan tindakan terhadap antirasuah ini, atau kami akan menolak pembaharuan ini atau...Tiada!.

"Jadi sebab itulah saya boleh melakukannya dengan penuh semangat dan keyakinan, dan saya percaya Malaysia boleh meneruskannya (pembaharuan)," kata Anwar semasa syarahan umum di Perpustakaan Kebangsaan Qatar, Universiti Hamad bin Khalifa di sini.

Program berkenaan merupakan antara pengisian sempena lawatan rasmi Anwar ke Qatar.

Tambah Anwar, semasa penubuhan Kerajaan Perpaduan terdahulu, setiap parti berbincang berdasarkan prinsip masing-masing.

Namun, keutamaan diberikan terhadap kebajikan rakyat.

Sementara itu, Anwar memanfaatkan peluang berada di Qatar dengan bertemu diaspora Malaysia yang menetap di negara Asia Barat itu.

Pertemuan diadakan menerusi majlis makan malam yang dihadiri kira-kira 500 rakyat Malaysia.

Selain beramah mesra, Anwar turut mengambil kesempatan mendengar aspirasi dan persoalan yang dikemukakan menerusi sesi soal jawab.

Turut Hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM