BAYAN LEPAS, 26 September - Sesi dialog awam bersama pelajar daripada pelbagai peringkat umur akan dilaksanakan bagi mendapatkan pandangan berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sesi yang dijangka berlangsung Oktober itu akan menjadi platform penting untuk mendengar pandangan pelajar bagi memastikan suara kanak-kanak diberi perhatian dalam penyediaan RUU berkenaan.
"Kita akan bawa anak-anak semua kepada kita dan kita pun nak dengar sebab saya rasa elok juga kita dengar pendapat mereka dari sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti," katany dalam sidang media selepas Sesi Dialog Awam Antibuli #Generasi Tanpa Buli Peringkat Pulau Pinang dan Perak di sini.
Sesi berkenaan disertai 300 peserta bertujuan mendapatkan pandangan serta maklum balas daripada semua pihak seperti guru, ibu bapa dan pelajar sebelum RUU berkenaan dimuktamadkan.
Ini kerana menurut Datuk Seri Azalina, maklum balas daripada sesi libat urus sebelum ini menunjukkan terdapat keperluan untuk memperluas definisi buli supaya tidak terhad kepada golongan di bawah usia 18 tahun.
Selain memastikan penubuhan tribunal antibuli yang dicadangkan berfungsi secara berkesan dan bukan sekadar simbolik.