fb fb fb fb fb

Kerajaan perkukuh strategi hadapi kesan konflik geopolitik

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 14 Oktober – Kerajaan sedang mempergiat pelaksanaan inisiatif di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan memohon untuk menyertai BRICS sebagai sebahagian daripada strategi untuk mengatasi kesan konflik geopolitik yang berpanjangan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kerajaan juga mengutamakan sumber bekalan dari rantau ASEAN melalui pendekatan 'nearshoring' bagi menjamin kestabilan rantaian bekalan dan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan mentah dari luar negara.

"Inisiatif ini bertujuan memastikan kelangsungan rantaian bekalan industri tempatan dalam menghadapi krisis ekonomi atau kesihatan global pada masa depan," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Ini bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin, mengenai langkah kerajaan dalam mempelbagaikan strategi pelaburan dan perdagangan di tengah ketegangan geopolitik antarabangsa.

Menurut Zafrul, pelaksanaan strategi ini terbukti mengukuhkan hubungan perdagangan sedia ada, menarik pelabur asing dan meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai pusat perdagangan antarabangsa.

Beliau turut memaklumkan, prestasi ekonomi negara kekal positif, dengan Indeks Pelopor untuk Penunjuk Ekonomi Malaysia mencatatkan peningkatan 5.2 peratus pada Julai 2024.

Tengku Zafrul turut menegaskan, MITI akan terus memainkan peranan penting dalam mengukuhkan daya tahan negara, terutama dalam sektor seperti semikonduktor, sambil mengukuhkan hubungan diplomasi perdagangan dengan rakan dagang dan meneroka peluang ekonomi baharu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN