Kerajaan perkukuh campuran tenaga negara mendepani cabaran cuaca ekstrem

Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) melawat Batang Ai HEP sempena program PETRA Skuad Zon Sarawak di Lubok Antu/ BERNAMA

LUBOK ANTU, 12 April – Kerajaan akan mempergiat usaha memperkukuh campuran tenaga negara bagi memastikan keterjaminan bekalan elektrik dalam berdepan cabaran perubahan cuaca ekstrem yang kini mula memberi kesan kepada sumber sedia ada.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemelbagaian sumber tenaga diperlukan untuk mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber seperti hidro dan gas.
  • Projek solar terapung 50 MW di Empangan Batang Ai strategik bagi mengimbangi penjanaan dan menyokong grid sedia ada.
  • Integrasi hidro dan solar meningkatkan kecekapan tenaga boleh baharu serta memperkukuh daya tahan terhadap ketidaktentuan pasaran dan permintaan industri.
  • Lawatan PETRA Skuad Zon Sarawak 2026 meninjau projek air dan tenaga; kerjasama Persekutuan, negeri dan utiliti penting.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata langkah itu penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber tenaga sahaja, terutamanya hidroelektrik yang kapasiti penjanaannya amat bergantung kepada faktor taburan hujan.

“Pada masa hadapan, negara yang mampu menguasai dan menghasilkan sumber tenaga sendiri akan lebih berdaya saing. Oleh itu, kita tidak boleh bergantung kepada satu sumber sahaja seperti air atau gas, sebaliknya perlu mempelbagaikan sumber tenaga.

“Ini kerana cabaran yang bakal dihadapi, khususnya perubahan cuaca ekstrem, menuntut kita untuk mempunyai sumber tenaga yang lebih lestari dan pelbagai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat projek solar terapung hibrid di Empangan Hidroelektrik Batang Ai sempena program Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Skuad Zon Sarawak 2026 di sini.

Pembangunan solar terapung berkapasiti 50 megawatt (MW) itu merupakan langkah strategik untuk mengimbangi penjanaan tenaga di Sarawak, selain berfungsi sebagai mekanisme sokongan kepada grid sedia ada.

Integrasi teknologi hidro dan solar itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan penggunaan sumber tenaga boleh baharu malah memperkukuh daya tahan negara dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran tenaga global serta peningkatan permintaan daripada industri berteknologi tinggi.

Usaha itu dilihat mampu mengurangkan kebergantungan kepada diesel serta memastikan bekalan tenaga lebih stabil. Selain itu kerjasama antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan syarikat utiliti penting bagi menjamin masa depan tenaga berdaya tahan, mampu milik dan mesra alam.

Lawatan Datuk Seri Fadillah merupakan sebahagian daripada jelajah PETRA Skuad Zon Sarawak 2026 bagi meninjau pelaksanaan projek air dan tenaga di lapangan.