Kerajaan perkenal insentif RM3.5 juta sokong pensijilan MSPO bagi peniaga buah kelapa sawit

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 11 AprilKerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) memperkenalkan insentif berjumlah RM3.5 juta bagi menyokong peniaga buah kelapa sawit memperoleh pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO).

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif proaktif untuk membantu peniaga memenuhi keperluan pematuhan dan memperkukuh daya tahan rantaian bekalan sawit negara.
  • Lebih 3,000 peniaga buah kelapa sawit yang layak dijangka menerima manfaat, tertakluk kepada syarat dan kelayakan.
  • Permohonan dibuka mulai 15 April 2026 menerusi sistem e-MSPO bagi peniaga mengemukakan permohonan pensijilan.
  • Pelaksanaan selaras MSPO 2.0, menyokong pembangunan mampan, tanggungjawab dan daya tahan industri sawit Malaysia.

Inisiatif itu merupakan langkah proaktif kerajaan dalam membantu peniaga memenuhi keperluan pematuhan semasa, di samping memperkukuh daya tahan rantaian bekalan sawit negara.

Lebih 3,000 peniaga buah kelapa sawit yang layak di seluruh negara dijangka menerima manfaat, tertakluk kepada syarat dan kelayakan yang ditetapkan.

Permohonan bagi insentif berkenaan boleh dikemukakan kepada MSPO mulai 15 April 2026 menerusi sistem e-MSPO.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata dalam kenyataan hari ini, pelaksanaan inisiatif itu selaras dengan usaha memperkukuh pelaksanaan menyeluruh MSPO 2.0, selain menyokong agenda negara dalam memastikan industri sawit Malaysia terus berkembang secara mampan, bertanggungjawab dan berdaya tahan.

“Langkah tersebut dijangka membantu memperluas liputan pensijilan dalam kalangan peniaga buah kelapa sawit, sekali gus mengukuhkan keseluruhan ekosistem rantaian bekalan sawit negara.

“Pada masa sama, kerajaan akan terus mengambil pendekatan yang bertanggungjawab dan berfokus bagi memastikan industri sawit negara kekal stabil, berdaya saing serta diyakini pasaran,” kata Datuk Seri Dr Noraini.

Dalam keadaan semasa, setiap langkah yang diambil adalah penting bagi memastikan sokongan berkesan dapat diberikan kepada pemain industri, khususnya mereka yang terlibat secara langsung dalam rantaian bekalan sawit negara.

Inisiatif ini turut mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat serta memperkukuh keyakinan terhadap sektor sawit negara di pasaran domestik dan antarabangsa.