KUALA LUMPUR, 2 September – Kerajaan memberi penekanan terhadap langkah semasa bagi memastikan pengurusan fiskal lebih mampan, sekali gus membolehkan manfaat tambahan disalurkan kepada rakyat menerusi subsidi bersasar, kenaikan gaji minimum serta penambahbaikan kebajikan penjawat awam.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Hussin Ismail di Dewan Negara, hari ini.
“Seperti program Payung Rahmah dan Jualan Rahmah, kita dapat lihat belanjawan tahun ini menyediakan peruntukan lebih besar berbanding tahun lalu. Jika tahun lalu RM300 juta, tahun ini ia ditingkatkan kepada RM1.66 bilion bagi Payung Rahmah.
“Apabila kewangan kerajaan diurus dengan baik, barulah kita dapat menyalurkan manfaat baharu kepada rakyat. Untuk penjawat awam, kerajaan peka bahawa sudah lama tiada penyelarasan gaji. Tahun lalu penyelarasan diberikan pada bulan Disember dan insya-Allah tahun depan pada bulan Januari, mereka akan menerima lagi penyelarasan gaji sehingga 15 peratus,” katanya.
Beliau menegaskan, fokus kerajaan ketika ini adalah memastikan pengurusan fiskal yang cekap agar penjimatan dapat dipulangkan semula kepada rakyat, khususnya melalui peningkatan gaji, kebajikan penjawat awam serta pembangunan infrastruktur asas.